Setiap tatacara dalam kehidupan kita seharusnya berpandukan al Quran dan as Sunnah. Ini kerana kedua- duanya merupakan batu asas yang menjadi pegangan kita sebagai umat Islam. Sunnah Rasulullah SAW boleh dijadikan panduan dan ikutan kerana baginda adalah contoh teladan yang terbaik buat semua umat manusia. Dalam hal berkaitan pemakanan sekalipun, Rasulullah SAW merupakan seorang yang mementingkan khasiat dan mutu makanan yang diambil agar dapat mengambil manfaat daripadanya. Pemakanan baginda lebih banyak mengambil daripada jenis biji- bijian, sayur- sayuran dan buah- buahan. Sebagai umat Islam, seharusnya kita mencontohi amalan pemakanan yang telah dipamerkan oleh Rasulullah SAW kerana corak pemakanan baginda adalah sihat dan berkhasiat seperti mana yang disarankan oleh pakar pemakanan pada hari ini. Ini terbukti dari sudut pandangan sains bahawa pemakanan yang berasaskan bijirin, buah- buahan dan sayur- sayuran adalah baik dijadikan amalan.
Menyoroti sejarah, Nabi Muhamad SAW biasa memakan roti yang diperbuat daripada gandum asli. Gandum sempurna (whole grain wheat) mempunyai perbezaan berbanding tepung gandum yang telah diproses kerana ia mengandungi kadar protein, serat dan vitamin E yang tinggi. Kajian sains semasa membuktikan bahawa mereka yang memakan roti yang diperbuat daripada gandum asli mempunyai risiko yang rendah untuk menghidap penyakit jantung kerana vitamin E yang terkandung didalamnya menyebabkan hati akan mengeluarkan kadar kolesterol yang rendah. Mengikut riwayat oleh Bukhari dan Muslim, Aisyah berkata, " Keluarga nabi tidak pernah kenyang dengan memakan roti gandum dua hari berturut- turut dan (pada hari mereka tidak memperolehi roti) mereka memakan tamar". Pemakanan berasaskan bijian- bijian sempurna sememangnya berkhasiat kerana ia amat penting bagi kesihatan jantung di samping berkhasiat untuk mengawal penyakit kencing manis dan kegemukan melampau (obesiti) serta juga mampu mencegah kanser. Mengikut satu kajian yang dibentangkan di International Conference on Food, Nutrition and Cancer, biji- bijian sempurna adalah kaya dengan bahan phytonutrients. Phytonutrients adalah sejenis antioksidan yang berkuasa tinggi yang mampu meningkatkan sistem pertahanan badan di samping mencegah kanser. Di samping itu, satu kajian yang telah dijalankan oleh Havard School of Public Health dari tahun 1984 hingga 1996 ke atas 74 000 orang wanita menunjukkan bahawa wanita yang mengambil biji- bijian sempurna dalam diet mereka secara berterusan mempunyai berat badan yang rendah berbanding mereka yang tidak mengambil biji- bijian sempurna. Justeru itu, bagi mereka yang ingin mengekalkan berat badan yang sihat dinasihatkan oleh pakar pemakanan agar mengambil makanan yang berasaskan biji- bijian yang sempurna.
Dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW, buah tamar memang tidak dapat dipisahkan lagi. Buah tamar dianggap sebagai makanan yang sempurna kerana ia mengandungi pelbagai khasiat yang diperlukan untuk kesihatan manusia. Kandungan serat yang tinggi dan lemak yang rendah serta gabungan beberapa zat lain yang terkandung di dalam buah tamar menyebabkan ia amat berkhasiat dan menjadi hidangan penting bagi nabi dan keluarga. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Aisyah berkata, "Ada ketikanya dapur rumah kami tidak berasap selama sebulan. Yang ada (untuk dijadikan makanan) hanyalah buah tamar dan air. Melainkan kadangkala diberikan kepada kami sedikit daging". Ini menunjukkan, buah tamar sentiasa menjadi hidangan penting bagi nabi dan baginda amat menggemarinya. Dalam riwayat lain menurut Abu Daud, Yusuf bin Abdullah bin Salam ra meriwayatkan, "Aku melihat Rasulullah mengambil sekeping roti gandum dan diletakkan tamar di atasnya dan memakannya". Roti gandum mengandungi karbohidrat di mana setiap individu memerlukan 50 hingga 60 peratus karbohidrat setiap hari untuk membekalkan tenaga dan juga mempunyai zat- zat logam yang lain, vitamin dan serat untuk kepentingan kesihatan manusia. Manakala buah tamar pula mempunyai unsur- unsur seperti karbohidrat, protein, serat, lemak serta zat logam yang lain untuk melengkapkan lagi hidangan tersebut.
Nabi juga memakan buah- buahan lain seperti tembikai. Sehubungan dengan ini, Abu Daud dan Tirmizi meriwayatkan bahawa Aisyah pernah berkata, "Rasulullah pernah memakan buah tembikai bersama-sama dengan buat tamar basah. Tembikai mengandungi 92 peratus air dan 8 peratus gula serta mengandungi antioksidan yang disebut lycopene yang mampu mencegah daripada pelbagai penyakit terutamanya kanser. Di samping itu, Rasulullah juga mengemari sayuran dari jenis mentimun (cucumber). Mentimun kaya dengan air justeru ia menyejukkan badan. Di samping itu, mentimun juga mengandungi vitamin C yang mampu meredakan radang kulit dan juga mengandungi silika. Silika merupakan unsur penting yang diperlukan bagi menjamin kesihatan sistem saraf yang melibatkan otot, tendon, ligamen dan tulang. Oleh kerana mentimun mengandungi banyak air, maka pengambilannya dengan makanan yang berserat merupakan satu langkah yang baik kerana ia akan memberi manfaat yang lebih berkesan kepada kesihatan tubuh badan. Kebanyakan buah- buahan dan sayur- sayuran mempunyai kadar lemak yang rendah. Justeru, pengambilannya mengurangkan lemak di dalam badan dan amat bermanfaat bagi mereka yang ingin mengawal kegemukan. Di samping itu, ia juga mengandungi zat dan vitamin lain yang seimbang untuk kesihatan badan di samping memantapkan lagi sistem pertahanan badan seseorang.
Oleh itu, pengambilan biji-bijian sempurna, buah- buahan dan sayur- sayuran yang diamalkan oleh Rasulullah SAW merupakan aturan yang baik untuk mengekalkan kesihatan dan ia telah pun dibuktikan melalui kajian sains semasa akan kelebihannya. Justeru, amalan pemakanan yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW seharusnya diikuti dan dicontohi oleh semua peringkat umur demi kesihatan yang mantap dan kelangsungan hidup yang bermutu.
sumber: institut kefahaman islam malaysia
No comments:
Post a Comment