Friday, January 29, 2010

Koleksi hadith

Tajuk :Menuntut Ilmu
Hadith :Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali". Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darimi

Huraian
i) Ilmu ialah mengetahui tentang sesuatu perkara di mana perkara yang boleh diketahui itu bergantung pada kemampuan dan usaha yang dilakukan oleh seseorang itu.
ii) Menuntut ilmu merupakan suatu jihad yang dituntut oleh Islam ke atas setiap penganutnya. Ia menjadikan seseorang itu menduduki martabat yang tinggi berbanding dengan orang yang tidak berilmu.
iii) Oleh itu selaku umat Islam kita hendaklah berusaha untuk menambahkan ilmu masing-masing dari semasa ke semasa termasuklah ilmu yang berkaitan dengan Islam kerana darjatnya lebih tinggi di sisi Allah. Malah salah satu daripada petanda ilmu yang berkat itu adalah apabila seseorang itu dengan bertambah ilmunya semakin mulia akhlaknya dan semakin bertakwa ia kepada Allah S.W.T.

Tajuk :Tiga Golongan Yang Menjadi Ahli Syurga
Hadith :Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Ahli syurga itu ada tiga golongan iaitu orang yang memerintah yang bersifat adil dan dikurniakan taufiq, orang yang berperasaan kasih sayang serta berhati lembut kepada setiap kaum karabat dan sesama Islam, orang yang tidak suka meminta-minta dan berusaha mengelak daripada meminta-minta sedangkan ia mempunyai keluarga yang ramai”.

Riwayat Muslim

Huraian:
Tiga golongan yang menjadi ahli syurga ialah:
1. Pemerintah yang berlaku adil di dalam pemerintahannya.
2. Orang yang mempunyai sifat kasih sayang serta berlemah lembut khususnya kepada ahli keluarga dan umumnya kepada sesama Islam.
3. Seseorang yang tabah dan cekal menghadapi kesusahan hidup tanpa mengharapkan pertolongan orang lain.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

No comments:

Post a Comment